Sunday, April 26, 2009

PSSCUHM Milik Kita !!!!!!

Alhamdulillah, berkat usaha dan perancangan rapi pihak YM GU, kita telah berjaya mendapatkan kembali Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi dari pihak yang belah sana di dalam satu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang telah diadakan di Kelang pada penghujung bulan Mac yang lepas.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh sebahagian besar (>77%) daripada cawangan dan jugak ahli terus Persatuan yang telah secara sebulat suara memilih YM Tn. Hj. Md Radzi sebagai presiden bagi sessi yang seterusnya selama 3 tahun.

Tindakan ini sedikit sebanyak mengundang reaksi drastik dari pihak belah sana. Kenyataan rasmi berhubung tindakan pihak kita boleh didapati dilaman web penipu - penipu besar (lidah rasmi Ramliar) di www.cekakhanafi.com.

Secara ringkasnya, pihak belah sana bertindak kononnya berdasarkan perlembagaan persatuan dan kuasa yang berada ditangan mereka dengan membubarkan 10 Cawangan negeri dan juga memecat beberapa ahli terus persatuan. Selain daripada itu, satu laporan polis juga telah difailkan terhadap setiausaha persatuan En. Amin Zainul Abidin, atas dakwaan menipu ahli - ahli persatuan.

Bagi saya kenyataan dan tidakkan mereka ini merupakan tidakan dalam keadaan panik dan tak lebih dari usaha pihak belah sana untuk menegakkan benang yang basah. Sebenarnya mereka tidak menyangka bahawa perkara sebegini berlaku. Mereka ingat dengan tertubuhnya Pusaka Hanafi kita akan tinggalkan Cekak Hanafi... apa korang ingat kita nak kasik korang free - free guna nama Ustaz Hanafi ke?

Walauapapun tindakan ini telah pun dijangka... pihak cawangan dan semua yang terlibat sudah sedia maklum... sudah tentu ada bezanya tindakan orang bijaksana dan tindakan orang yang pandai..

Sebagai balasan terhadap kenyataan tersebut, pihak persatuan telah mengeluarkan kenyataan berikut:



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Pekeliling MMK 09/12

27 April 2009



Semua Ahli,

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.



Tuan / Puan,

MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa berdasarkan Perlembagaan Persatuan, Peraturan 7, Ceraian 23 (b), pada 28 Mac 2009 (Sabtu), pada jam 10.00 pagi, bertempat di Dewan Tertutup, Kompleks Rakan Muda, Sementa, Kelang, Selangor Darul Ehsan dengan dihadiri seramai 318 orang Perwakilan diseluruh Malaysia iaitu sekitar 77.6% peratus kehadiran daripada jumlah maksima Perwakilan sebanyak 410 orang.

Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa ini di adakan atas desakan 10 buah Cawangan Negeri di Malaysia yang menuntut Presiden memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa tersebut kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2006/2009 yang telah gagal melaksanakan amanahnya berdasarkan Perlembagaan Persatuan dan ketetapan Mesyuarat Agung Perwakilan serta enggan memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2006, 2007 dan 2008 dan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 telah difailkan dengan sempurna di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Mac 2009.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap En.Ramlee Bin Abd.Rahman (Mantan Setiausaha Agung), En.Amrahi Bin Buang (Mantan Bendahari Agung), En.Abd Azman Bin Johan dan En.Kamarul Baharaini Bin Abd.Latiff (Mantan Juruaudit Dalaman) kerana telah enggan dan engkar untuk menyerahkan Penyata Aktiviti dan Kewangan PSSCUHM pada 26hb April 2009.

Adalah dimaklumkan juga bahawa pembubaran 10 Buah Cawangan Negeri oleh MMK 2006/2009 adalah tidak sah kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan Negeri yang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada En.Ramlee Bin Abd.Rahman (mantan Setiausaha Agung) telah diadakan pada bulan Februari 2009 dan MMK 2006/2009 telah tamat tempohnya selama 3 tahun pada 11hb Mac 2009.

Turut dimaklumkan bahawa pengguguran keahlian beberapa orang ahli Seumur Hidup persatuan ini adalah tidak sah kerana pemakluman tersebut hanya diterima selepas tarikh 21hb April 2009, iaitu selepas Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 terbentuk pada 28hb Mac 2009.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan kepada pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kesahihan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa mahupun Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 tersebut, bolehlah mencabarnya dimana-mana mahkamah di Malaysia yang merupakan badan yang berwibawa untuk menentukan samada sesuatu Mesyuarat Agung tersebut sah ataupun tidak.

Suka saya tegaskan disini bahawa berkuatkuasa selama 3 tahun, bermula daripada 28hb Mac 2009, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 (rujuk laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org) yang telah dipilih pada Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa yang telah diadakan pada 28hb Mac 2009 dan akan berakhir tempohnya pada 27hb Mac 2012. Ahli-ahli juga dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.



Sekian, wassalam.





MOHAMAD AMIN BIN ZAINUL ABIDIN

Setiausaha Agung




Lepas ini kita tengok macam mana lagi diaorang nak pusing....